}

Monday 16 April 2012

Kata Alu-Aluan Pengarah JPS

Assalamualaikum wbt

Kejohanan Balapan dan Padang Majlis Sukan Sekolah-sekolah Selangor merupakan teras kepada aktiviti sukan di sekolah yang secara tradisinya akan dianjurkan setiap tahun . Sebagai acara penting yang sepatutnya menjadi tunjang kepada aktiviti sukan di sekolah, maka kejohanan sebegini perlulah dikekalkan dengan terancang dan sempurna serta pada masa yang sesuai. Oleh itu saya ingin mengucapkan tahniah dan syabas kepada Jawatankuasa Pelaksana Kejohanan Balapan dan Padang Majlis Sukan Sekolah-sekolah Selangor tahun 2012 yang telah bekerja keras mengelolakan acara ini dengan baik dan teratur.

Saya juga percaya dan penuh yakin bahawa melalui kejohanan seumpama ini semua atlet, jurulatih dan pegawai dari 10 daerah Negeri Selangor dapat bertemu sesama mereka untuk berinteraksi dengan harmoni. Persaingan yang sihat ini secara tidak langsung akan dapat menjanakan kesepaduan dan kegemilangan sukan di sekolah-sekolah selaras dengan hasrat dasar 1Murid 1Sukan.

Penyertaan sekurang-kurangnya dalam satu sukan adalah faktor yang dapat mengembalikan kegemilangan sukan di sekolah. Oleh itu dasar ini yang diperkenalkan dan dilaksanakan sepenuhnya bermula tahun 2011 diharap akan dapat menjanakan pelbagai aktiviti sukan di sekolah berdasarkan kemampuan, kreativiti serta inovasi guru dan murid.

Akhir kata saya ingin merakamkan kesyukuran terhadap Allah swt kerana dengan izin Nya majlis ini telah dapat dijalankan dengan lancar. Saya juga ingin mengucapkan terima kasih dan penghargaan kepada Jawatankuasa dan semua pihak yang terlibat secara langsung atau tidak langsung atas sumbangan dan komitmen menjayakan Kejohanan Balapan dan Padang Majlis Sukan Sekolah-sekolah Selangor Tahun 2012 ini.

Sekian, terima kasih.

No comments:

Post a Comment